Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024 : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain mengusulkan cadangan agar para penternak mendaftarkan ternakan mereka di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mengatasi masalah haiwan berkeliaran.
Menurutnya, kes haiwan berkeliaran dilihat semakin serius apabila mengakibatkan kematian apabila berlaku kemalangan disebabkan oleh haiwan yang berkeliaran tanpa dipantau oleh penternak.
“Selain itu, saya mencadangkan agar mewajibkan penternak-penternak di setiap rancangan FELDA ini mendaftarkan kesemua ternakan mereka dengan pihak Veterinar.
“Menambahbaik langkah keselamatan dengan membuat pagar kawad ataupun pagar eletrik di kawasan ladang peneroka berhampiran jalan raya dan papan tanda amaran di kawasan yang sering berlakukemalangan ini.
“Saya juga merayu dan mengharapkan tindakan pihak Veterinar menekankan agar diwajibkan kepada penternak bagi meletakkan ‘tagging’ pada lembu supaya pemilik lembu lebih bertanggungjawab dan lembu-lembu yang tidak berdaftar boleh dikategorikan sebagai lembu tidak bertuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Perbahasan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Beliau juga berharap agar pihak veterinar dapat menjalankan operasi tangkapan haiwan berkeliaran di kawasan kemalangan secara berterusan.
Beliau juga berharap pihak pengurusan FELDA lebih menitikberatkan serta bersikap proaktif terhadap penternak di kawasan FELDA dengan mengawal selia data terperinci penternak-penternak di setiap rancangan FELDA.
“Saya juga berharap pihak Kerajaan Negeri agar dapat menubuhkan ‘task force’ secara bersepadu bagi menyelesaikan masalah kritikal ini kerana isu ini juga melibatkan nyawa masyarakat FELDA dan pengguna jalanraya,” katanya. – PAHANGMEDIA

