Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 01 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah bersedia menghadapi banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir Mac tahun hadapan.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, semua keperluan makanan dan barangan asas telah dihantar ke pengkalan hadapan seluruh negeri ini.
“Setakat ini bekalan makanan semua telah dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan pengkalan hadapan.
“Bukan kata nak tunggu banjir sekiranya berlakulah bencana banjir kita telah bersiap siaga untuk menghadapi banjir Monsun Timur Laut,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan pengoperasian Pusat Pemindahan Sementara (PPS), beliau berkata pihaknya juga telah melakukan persediaan awal.
“Dari segi PPS alhamdulillah kita semua telah bersedia. Dan baru ni minggu lepas saya telah melawat pengkalan hadapan di Sanggang, Temerloh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Anggun Suri bagi Daerah Bera Tahun 2024 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin; dan Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek. -PAHANGMEDIA

