Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menitikberatkan aspek pembangunan sukan dan keperluan kemudahan sukan di negeri ini justeru sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk menaiktaraf dan menyelenggara kemudahan sukan Majlis Sukan Pahang (MSP) bagi tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kepada MSP sebanyak RM3 juta bagi membina Kompleks Sukan Benta.
Katanya, melalui penglibatan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1.65 juta bagi meneruskan beberapa inisiatif dan program seperti Sambutan Hari Belia Negara, Hari Sukan Negara dan Program Hari Sukarelawan Anak Pahang sempena menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa.
“Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan RM1 juta kepada Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) bagi mengurus dan melaksana aktiviti berkaitan pembangunan belia di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menurut YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy lagi, Kerajaan negeri juga turut mengiktiraf sumbangan dan peranan wanita kepada kesejahteraan keluarga dan pembangunan negeri ini justeru sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi meneruskan inisiatif-inisiatif khusus seperti Penggubalan Dasar Wanita dan Pelan Tindakan Wanita Negeri Pahang, program Anggun Suri dan Anggun Maju.
“Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan RM700,000 masing-masing kepada Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) dan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) bagi menggerak dan melaksana aktiviti masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya lagi, Kerajaan Negeri juga melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang akan meneruskan inisiatif dan bantuan kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan peruntukan sebanyak RM1.9 juta bagi pelaksanaan Program Khidmat Bantu Di Rumah.
“Di samping itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM595,000 bagi Pemberian secara one-off kepada penyelia, petugas dan pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK),” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

