Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM16.1 bilion pada tahun 2023.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pelaburan ini terdiri daripada pelaburan domestik serta pelaburan asing ke Negeri Pahang.
“Pelaburan tersebut terdiri daripada RM4.4 bilion pelaburan domestik dan sebanyak RM11.7 bilion pelaburan asing.
“Statistik ini adalah petunjuk jelas keyakinan para pelabur terhadap potensi serta kestabilan yang ada di negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tahun 2023 yang sekali lagi berjaya mengatasi KDNK di peringkat Nasional.
“Selain itu, kita seharusnya berbangga apabila prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk tahun 2023, sekali lagi berjaya mengatasi KDNK di peringkat Nasional, mengulangi kejayaan yang sama pada tahun 2022.
“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, ekonomi Pahang pada tahun lalu menyaksikan pertumbuhan 5.2 peratus mengatasi pertumbuhan di peringkat Nasional 3.6 peratus, dengan nilai KDNK mencecah RM64.9 bilion, berbanding RM61.7 bilion pada tahun 2022.
“Pertumbuhan ekonomi Pahang sebahagian besar daripadanya dipengaruhi oleh kenaikan dalam sektor pembinaan (37.1 peratus), perlombongan dan pengkuarian (9.6 peratus), perkhidmatan (6 peratus), pertanian (2.5 peratus) dan pembuatan (2.1 peratus),” katanya. -PAHANGMEDIA

