Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Projek Perumahan PRIMA Pahang Sungai Karang Darat akan memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan Menduduki (CCC) pada Januari tahun hadapan.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, setakat ini pembinaan projek tersebut telah mencapai 90 peratus.
“Untuk makluman, sehingga kini pembinaan telah mencapai peratusan pembinaan sehingga 90 peratus di tapak, di mana bangunan rumah telah siap sepenuhnya.
“Hanya kerja-kerja infrastruktur seperti kerja-kerja paip retikulasi luaran, kerja-kerja jalan dan proses ujian serta pematuhan sistem rawatan berpusat yang perlu disiapkan.
“Jangkaan siap kerja-kerja tersebut pada November 2024 dan Sijil Penyiapan dan Pematuhan Menduduki (CCC) pada Januari 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB. Dato’ Haji Andansura Rabu pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Beliau berkata, projek yang diluluskan Kerajaan Negeri Pahang pada 2015 merangkumi pembangunan 112 unit rumah ini mengambil masa yang agak panjang disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pembinaan projek ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2021 setelah Kebenaran Merancang, Pelan Infrastruktur dan Pelan Bangunan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Kelulusan ini mengambil masa yang agak panjang disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan kelancaran proses pembangunan.
“Kerajaan Negeri Pahang telan memeterai perjanjian bersama pemaju dalam tempoh lima tahun untuk disiapkan sehingga memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan Menduduki (CCC).
“Punca kelewatan berlaku adalah disebabkan oleh proses kelulusan pembangunan ini berada di dalam tempoh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP); peningkatan harga bahan binaan dan kos tenaga kerja yang telah memberi kesan kepada aliran tunai dan keupayaan pemaju; dan kelulusan pinjaman pembeli juga mengambil masa yang agak lama dan aliran tunai pembangunan terpaksa ditanggung oleh pemaju,” katanya.
Tambah beliau, projek pembangunan perumahan ini sentiasa dipantau oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Agensi-Agensi Teknikal.
“Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang, Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi-Agensi Teknikal sentiasa memantau projek pembangunan ini secara berkala dalam memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut spesifikasi dan keperluan yang ditetapkan.
“Dengan kegigihan dan kesungguhan pemaju, saya yakin projek pembangunan ini dapat disiapkan sepenuhnya dan diserahmilik kepada pembeli-pembeli dalam tempoh masa yang dijangkakan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

