Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 NOVEMBER 2024 : Pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2025 esok disifatkan akan memberi manfaat kepada semua pihak di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, banyak perkara menarik juga akan dibentangkan pada pembentangan belanjawan esok.
“Hari ini saya melihat persediaan terakhir sebelum membentangkan belanjawan pada esok pagi dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
“Dan saya fikir semuanya akan mendapat manfaat daripada pembentangan bajet saya pada esok pagi.
“Banyak yang menarik, pastinya ada. Tunggu esok pagi,” katanya ketika ditemui selepas sesi raptai Pembentangan Bajet 2025 di Dewan Undangan Negeri Pahang, Wisma Sri Pahang.
Beliau turut menyeru rakyat Negeri Pahang untuk bersama-sama mengikuti siaran langsung pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2025 esok.
“Oleh itu saya menyeru kepada semua rakyat Negeri Pahang khasnya untuk sama-sama mendengar pembentangan bajet pada esok pagi antara jam 9.30 pagi ke 10 pagi yang akan saya bentangkan secara langsung daripada Dewan Undangan Negeri Pahang,” katanya.
Belanjawan Negeri Pahang 2025 bertemakan Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan ini merupakan keutamaan Kerajaan Pahang agar rakyat di negeri ini dapat hidup dalam kemakmuran dan kesejahteraan.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen. -PAHANGMEDIA

