Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Muhammad Ashraf Hakimi Hashim
KUANTAN, 28 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan memastikan segala perancangan pembinaan perumahan terutamanya rumah mampu milik untuk rakyat negeri ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, justeru itu satu townhall bersama Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP) dan pemaju perumahan telah diadakan bagi memastikan setiap projek perumahan yang dijalankan mengikut perancangan ditetapkan Kerajaan Negeri.
Katanya, towhall berkenaan diadakan bagi mendengar cadangan atau permasalahan yang dihadapi pemaju bagi membolehkan Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan sewajarnya.
“Pertamanya kita nak bagi memberi penjelasan kepada pemaju-pemaju tentang hasrat Kerajaan Negeri untuk membina lebih banyak rumah untuk keperluan rakyat di Negeri Pahang terutamanya rumah mampu milik seperti rumah PR1MA Pahang, rumah Makmur, yang kita laksanakan agar dapat memberikan kesejahteraan kepada kehidupan rakyat Negeri Pahang.
“Dan dalam masa sama juga kita ingin mendengar cadangan-cadangan atau permasalahan yang dihadapi pemaju supaya kita dapat memberikan bantuan yang sebaik-baiknya bagi memastikan segala perancangan kerajaan atau pun pembinaan perumahan ini dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin,” katanya selepas selesai mengadakan sesi townhall berkenaan yang diadakan di LPHP, Kompleks Teruntum, di sini, hari ini.

Sesi townhall berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim.
Tambah YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin lagi, sesi townhall berkenaan mendapat maklumbalas positif dari pemaju sekali gus berharap agar program julung kali diadakan di LPHP itu dapat dianjurkan lagi sekurangnya dua kali dalam setahun.
“Harap dapat diadakan dua kali setahun supaya kita ingin memperlengkapkan atau kita memberikan pengetahuan yang sejelasnya… maklumat-maklumat yang berguna kepada pemaju agar dapat membantu ataupun dapat melaksanakan projek itu dengan lebih cepat lagi.
“Kita nak elakkan kekeliruan seperti contohnya kemudahan merancang. Kerajaan Negeri mahu kemudahan merancang ini mesti disiapkan dalam tempoh 99 hari sebab melibatkan tanah dan sebagainya.
“Pihak Kerajaan Negeri, kita nak pastikan apa yang kita laksanakan hari ini semua pemaju faham kerana kita tak nak ada orang di luar sana menyampaikan berita yang tidak benar sedangkan Kerajaan Negeri hari ini, kita sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan projek ini dengan sebaiknya dalam negeri kita,” katanya lagi.
Beliau juga memberitahu, setakat ini pihak LPHP menerima sebanyak lebih 45,000 permohonan untuk mendapatkan rumah dari rakyat negeri ini.
“Kita menerima permohonan lebih 45,000 dan kalau boleh kita menggalakkan rakyat mendaftar menggunakan website ePerumahan Pahang supaya kita dapat lihat di Negeri Pahang ini berapa banyak keperluan pembinaan rumah di sesebuah daerah bagi membolehkan Kerajaan Negeri dapat merangka dan merancang pembangunan dan keperluan di setiap daerah sekali gus untuk memastikan perumahan yang cukup kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan Kerajaan Negeri turut merangka untuk memperluaskan lagi pembinaan rumah untuk kakitangan awam di setiap daerah di negeri ini. -PAHANGMEDIA

