Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang menegaskan agar penceramah-penceramah yang mendapat tauliah untuk berceramah di masjid-masjid seluruh Pahang tidak menyalahgunakan amanah yang diberi demi menjaga keharmonian dan saling menghormati.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, semua pihak perlu bersama-bersama menghormati dengan tidak berpolitik di masjid.
“Kita jaga kemudahan, keterbukaan, kebersamaan yang ada ini dengan penuh harmoni, dengan penuh hormat menghormati dan kasih sayang, pelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang menyeru agar tidak ada pihak yang berpolitik di masjid.
Sebelum itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim telah hadir pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1446 Hijriah / 2024 Masihi di Hotel Swiss-Bell Kuantan.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Hairi Haji Hussain, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Abdul Zaki Md Zin dan Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), YH. Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa itu telah disertai 51 institusi pengajian Islam seluruh Pahang dengan seramai 30 peserta yang menyertai enam kategori iaitu Kategori 1-10 juzuk (lelaki), Kategori 1-10 juzuk (perempuan), Kategori 1-20 juzuk (lelaki), Kategori 1-20 juzuk (perempuan), Kategori 1-30 juzuk (lelaki) dan Kategori 1-30 juzuk (perempuan).
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar penceramah dan pendakwah yang diberi tauliah agar tidak menyalahgunakan kelebihan tersebut dengan berpolitik di masjid.
“Jangan salahgunakan tauliah yang telah diberi oleh Majlis Ugama Islam Pahang kepada penceramah-penceramah, pendakwah-pendakwah, gunakan tauliah yang diberikan untuk mengajar agama dengan betul, dengan baik, tanpa ada unsur-unsur yang berkaitan dengan parti politik, makna jangan ambil kesempatan berkempen pulak.
“Kebetulan awak ahli politik, awak dapat tauliah, Syed Ibrahim awak ceramah politik pulak, tak boleh, begitu jugalah parti mana yang ada di negeri Pahang, termasuklah UMNO, PAS, PKR, Amanah, kalau ada antara tokoh diorang dapat tauliah, tak perlulah ceramah politik dalam masjid,” katanya. – PAHANGMEDIA

