Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Fadhil Roslizan
RAUB, 14 NOVEMBER 2024 : Jualan Rahmah Madani anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) di daerah ini dapat meringankan beban hampir 100 mangsa banjir baru-baru ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata barangan dengan harga rendah ini dapat membantu rakyat dengan keadaan ekonomi yang tak menentu masa kini.
“Saya panjatkan rasa syukur sebab Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, YB. Datuk Armizan Mohd Ali meluangkan masa membawa Jualan Rahmah yang murah di Raub dan Dong ini.
“Dan ada pula happy hour, ada lima barangan yang harga durian runtuh sangat murah dengan keadaan ekonomi yang tak menentu, rakyat dapat peluang yang sebegini saya sangat hargai.
“Dan selain daripada jualan rahmah ini terutamanya lepas banjir ada lebih 100 penduduk Dong yang dalam kategori kurang berkemampuan menerima bantuan daripada KPDN berupa barangan keperluan bernilai lebih kurang RM100 dan wang tunai sebanyak RM150 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Turun Padang ke Jualan RAHMAH MADANI Negeri Pahang di Tapak Pekan Sehari Dong.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, YB. Datuk Armizan Mohd Ali.
Tambah beliau, pelantikan Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) dilihat sebagai satu langkah tepat bagi memastikan bekalan barangan cukup menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
“Langkah ini adalah satu langkah yang sangat tepat di mana peruncit dan pemborong terpilih ini mempunyai barang yang mencukupi bagi menghadapi Monsun Timur Laut khususnya musim banjir.
“Ini memudahkan kita, sebab saya sendiri, kalau musim banjir ini kita banyak belanja, beli barang-barang keperluan masyarakat dan kita dijamin punya stok daripada peruncit dan pemborong ini,” katanya.
Sebanyak 210 Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dilantik di Pahang daripada 1,369 premis keseluruhan bagi membekalkan barang keperluan asas sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini dan 97 premis lagi dilantik sebagai Pemborong Terpilih Daerah (DDW) daripada 635 premis di seluruh negara. -PAHANGMEDIA

