Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 29 OKTOBER 2024 : Badan Kebajikan Islam TM (BAKIT) menyumbang zakat sebanyak RM10,000 kepada 100 asnaf di Daerah Raub.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, sumbangan zakat ini dapat membantu golongan asnaf mengurangkan beban ekonomi dalam kehidupan mereka.

“Terima kasih banyak-banyak kepada TM atas usaha dan sumbangan zakat ini yang saya percaya dapat membantu meringankan beban golongan asnaf di Daerah Raub khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan serahan zakat pada Program Serahan Zakat TM dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Unifi Store Raub, hari ini.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Perniagaan TM One Wilayah Timur, Tuan Haji Maliki Harun, Pengurus Cawangan Daerah MUIP Cawangab Raub, Al-Fadhil Ustaz Mohd Muzil Adli Ne’mat dan Pengurus Bakit TM Pahang, Tuan Haji Mazahari Hamali.

Seramai 100 asnaf akan menerima agihan zakat berjumlah RM100 setiap seorang yang dapat digunakan di tiga kedai runcit terpilih di Daerah Raub bagi mendapatkan barangan keperluan runcit untuk kegunaan harian.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar badan-badan korporat lain serta syarikat-syarikat swasta agar sama-sama mengeluarkan zakat bagi membantu golongan asnaf untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
“Saya harap lebih ramai pihak korporat, syarikat swasta tampil membantu rakyat-rakyat kita yang susah khususnya golongan asnaf dan hasrat akhirnya golongan ini akan berkurangan di mana lebih ramai yang mendapat manfaat dan mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya. -PAHANGMEDIA

