Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi risiko peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal tiba.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini termasuk penghantaran bekalan yang diperlukan ke pengkalan hadapan serta mesyuarat jawatankuasa bencana.
“Kita mengadakan mesyuarat jawatankuasa bencana, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri juga adakan mesyuarat, oleh sebab ini adalah peristiwa tahunan dalam menghadapi banjir ini dan kita selalu bersiap siaga. Dan saya sendiri pun memantau keadaan ini.
“Pengkalan hadapan semua dah ready. Bekalan makanan apa semua, semua kita dah sediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2024 Bagi kepada Masjid Dan Surau Kebenaran Jumaat, Maahad Tahfiz/Pondok, Pelajar Tahfiz/Pondok Dan Mualaf di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Mengulas mengenai kejadian banjir di Temerloh baru-baru ini, beliau melahirkan rasa bersyukur kerana bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada mangsa terlibat.
“…dan alhamdulillah baru ini banjir di Temerloh kita telah dapat salurkan bantuan dengan segera. Tidak ada aduan, mangsa-mangsa banjir nampaknya puas hati,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang terlibat dengan bencana banjir supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Dan saya menyeru kepada mereka yang terkesan dengan bencana banjir ini supaya mematuhi arahan daripada pihak berkuasa. Kalau di minta untuk berpindah dengan segera, mereka akur.
“Dan dalam masa yang sama, sekiranya mereka telah pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau Pusat Pemindahan Tetap, mereka hendaklah jangan balik ke rumah selagi belum dapat arahan daripada pihak berkuasa,” katanya. -PAHANGMEDIA

