Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2024 kepada Masjid Dan Surau Kebenaran Jumaat, Maahad Tahfiz/Pondok, Pelajar Tahfiz/Pondok, dan Mualaf sebanyak RM9.28 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kesejahteraan dan pembinaan masyarakat di negeri ini.
“Program hari ini adalah program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada masjid, surau yang boleh solat Jumaat, mualaf, maahad tahfiz, anak-anak maahad tahfiz. Alhamdulillah telah dapat disampaikan kepada mereka semua sebentar tadi.

“Dan ini adalah seperti mana yang telah saya nyatakan, bahawa kalau sekiranya kita ada lebihan daripada hasil Kerajaan Negeri, kita salurkan balik kepada rakyat. Ini adalah salah satu bantuan selain daripada bantuan sebelum ini seperti ibu tunggal, rumah, dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2024 kepada Masjid Dan Surau Kebenaran Jumaat, Maahad Tahfiz/Pondok, Pelajar Tahfiz/Pondok Dan Mualaf di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

Menurut beliau, menerusi bantuan ini, masjid dan surau yang mendapat kebenaran Jumaat akan menerima RM10,000 setiap satu yang melibatkan 700 buah masjid dan surau di seluruh Pahang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7 juta bagi memperkukuhkan peranannya sebagai pusat ibadah dan kemasyarakatan.
“Untuk maahad tahfiz, Kerajaan Negeri akan memberikan RM2,000 setiap satu kepada 200 pusat tahfiz, dengan jumlah RM400,000. Ini adalah bagi memastikan pusat-pusat pendidikan tahfiz kita dapat berfungsi dengan lebih baik.
“Selain itu, pelajar tahfiz seramai 8,800 orang akan menerima bantuan RM100 setiap seorang, dengan jumlah keseluruhan RM880,000. Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka dalam menuntut ilmu.
“Bagi muallaf, kita juga menyediakan bantuan RM200 setiap seorang kepada 5,000 penerima, dengan jumlah RM1 juta. Ini adalah salah satu cara kita untuk memberikan sokongan kepada saudara baru dalam agama Islam,” katanya. -PAHANGMEDIA

