Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 21 OKTOBER 2024 : Penganjuran forum bersempena Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang dapat memperjelas dan menerangkan tentang demokrasi sekaligus memupuk kenegaraan bagi mengukuhkan jati diri di kalangan ADUN Belia Pahang.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Encik Mu’azamir Jili berkata, forum ini penting sebagai perkongsian yang dapat memberikan input penting kepada ADUN Belia terhadap kepimpinan negara dalam skop yang lebih luas dan realistik.
“Ini adalah satu input baru yang kita hendak sampaikan kepada ADUN Belia ini yang kita jangka akan menjadi pemimpin masa hadapan tetapi intipati sebenar tentang politik dan demokrasi masih ada yang belum dapat memahami, kerana itulah forum ini diadakan bagi memberikan pemahaman yang jelas tentang demokrasi, politik dan mereka akan faham dan seterusnya memahami dan memberi kefahaman kepada rakan-rakan belia lain di luar sana.
“Forum ini diharap dapat memberi pencerahan kepada golongan belia tentang demokrasi dan kenegaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Forum : Demokrasi Kenegaraan Dalam Realiti Semasa Sempena Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang 2024-2025 yang diadakan di Hotel Sri Manja Kuantan, malam tadi.
Forum itu telah menampilkan dua panel iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, Dr. Che Hamdan Che Mohd Razali yang dipimpin moderator Mantan Ahli Parlimen Belia, Encik Muhammad Zul Shafiq Abdul Wahab.
Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang 2024-2025 akan bersidang selama dua hari bermula Isnin yang menampilkan 47 ADUN Belia seluruh Pahang bertempat di Wisma Sri Pahang di Kuantan. -PAHANGMEDIA

