Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 OKTOBER 2024 : Seramai 50 anak yatim daripada tiga buah sekolah di sekitar Tanjung Lumpur telah dibawa menaiki motor Harley Davidson dalam satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menjadi pencetus motivasi kepada para pelajar berkenaan.
Menurut Penolong Pengarah Hal Ehwal Harley Owners Group (HOG) Petaling Jaya, YBhg. Tuan Haji Sahar Effendi Daud, program yang julung kali diadakan di Pahang ini berkata ini kerana kebanyakan mereka di dalam kumpulan ini juga berasal dari kampung.
“Harapan kami adalah dengan sedikit sumbangan yang kita berikan kepada anak-anak yatim ini semoga ia dapat menjadi motivasi untuk mereka semua pada suatu hari nanti untuk berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.
“Kami ini pun kebanyakkannya dari orang kampung juga bukan semua orang bandar. Tapi bila kita berusaha dan berserah kepada Allah insya-Allah rezeki kita ada,” katanya ketika ditemui di Yayasan Pahang hari ini.
Beliau turut berharap program yang merupakan acara tahunan HOGPJ dengan kerjasama Yayasan Pahang yang memberi impak positif kepada para pelajar ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.
Sementara itu, menurut Pengurus Besar Yayasan Pahang Plantation (YPP), YH. Dato’ Muhammad Fairuz Kamal Mat Noh, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama bersama HOGPJ pada masa hadapan.
Program kerjasama CSR di antara Yayasan Pahang, YP Plantation Holdings, dan Harley Owners Group Petaling Jaya dan Pahang ini telah menghimpunkan 80 pemilik motor Harley Davidson dari Petaling Jaya dan Pahang bagi meraikan anak-anak yatim dari tiga sekolah rendah di sekitar Tanjung Lumpur iaitu SK Sungai Soi, SK Kempadang dan SK Tanjung Lumpur.
Kesemua anak yatim ini telah dibawa menaiki motorsikal mengelilingi Pantai Anak Air dan Pantai Kempadang serta turut menerima sumbangan set peralatan sekolah serta wang tunai RM400.-PAHANGMEDIA