Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 15 OKTOBER 2024 : Draf Rancangan Tempatan Daerah Rompin Pahang 2035 (Penggantian) menggariskan beberapa strategi bagi memperkukuh kedudukan Daerah Rompin di peringkat global selaras matlamat ‘Bandar Pelancongan Antarabangsa’.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, draf RT Daerah Rompin ini dapat digunapakai oleh ramai pihak termasuklah jabatan dan agensi-agensi kerajaan.
“Kajian ini adalah untuk tempoh 11 tahun dan bolehlah semua agensi dan jabatan maknanya jabatan kerajaan boleh menggunapakai nanti untuk tempoh dua kitar Rancangan Malaysia Ke13 dan 14 kerana Rancangan Malaysia Ke-12 ini akan berakhir pada tahun depan, jadi selepas itu kita bersambung dengan Rancangan Malaysia Ke13 dan 14.

“Banyak aspek yang diambil kira selain daripada itu termasuklah kemudahan infrastruktur awam yang kita sudah dirancang oleh pihak PLANMalaysia, termasuklah laluan jalan raya, lebuhraya untuk akan datang, laluan ECRL dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Rompin, Pahang 2035 (Penggantian) yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Rompin di Kuala Rompin, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (PLANMalaysia), YBhg Town Planner Md. Nazri Abdullah, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Puan Husnalrita Yussof, Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin, YBhg Tuan Muhammad Hatta Kassim dan Pengurus Khidmat Pengurusan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), YBhg Puan Nor Zaihan Othman.

Draf RT Daerah Rompin, Pahang 2035 telah mencadangkan sebanyak 133 cadangan pembangunan melibatkan 11 cadangan ‘quick win’, 16 cadangan strategik, 50 cadangan utama dan 56 cadangan sokongan.
Kajian ini telah dijalankan selama setahun bermula 8 Mei 2023 sehingga 8 Mei 2024 dan kini dipamerkan kepada orang ramai selama sebulan bermula 1 hingga 31 Oktober depan bagi mendapatkan maklum balas awam.
YB. Dato’ Ir. Razali turut menyeru orang ramai supaya memanfaatkan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan di Daerah Rompin.
“Saya mengambil kesempatan untuk menyeru semua masyarakat, jabatan, agensi, kepimpinan masyarakat, NGO dan orang awam untuk mengambil bahagian bersama-sama melihat draf ini kerana kita hanya buka selama sebulan sahaja sehingga 31 Oktober ini dan bolehlah datang ke Majlis Daerah Rompin dan PLANMalaysia di Kuantan.
“Pihak majlis juga akan membuat pameran bergerak untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat, sekiranya ada cadangan atau bantahan boleh dikemukakan,” katanya.
Beliau berharap hasil kajian draf ini akan dapat memacu pembangunan bukan sahaja kepada daerah Rompin tetapi juga rakyat agar dapat hidup sejahtera dengan kemudahan yang lebih baik. -PAHANGMEDIA

