Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Akmalia Allen
KUANTAN, 08 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang mengambil berat berkenaan fasiliti bagi sukan berkuda di negeri ini bagi memastikan ia terus menjadi satu sukan yang berkembang maju.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang berhasrat menarik lebih ramai penyertaan pelajar dalam sukan ini melalui Pusat Equestrian di Tanjung Lumpur sekiranya fasiliti di pusat ini ditambahbaik dan lebih terurus.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang baru sahaja menyampaikan surat tawaran penyewaan Pusat Equestrian Yayasan Pahang kepada Syarikat Equine Elite Sdn. Bhd.

“Kita tengok lebih kurang 35 ekor kuda ditempatkan di pusat equestrian ini dan saya berharap sangat dengan sewaan kepada syarikat ini, mereka boleh mengurus dah mengoperasikan pusat ini dengan baik dan lancar. Banyak perkara yang saya lihat boleh ditambahbaik.
“Saya sangat berharap pihak syarikat dapat menjalankan amanah ini demi kemajuan sukan berkuda di negeri ini. Saya mendapat banyak pandangan daripada banyak pihak termasuk peminat sukan berkuda dan para ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sini dan akhirnya kita dapat realisasikan hasrat ini,” katanya.
Beliau berkata setakat ini tiga faktor utama menjadi tumpuan Kerajaan Negeri kepada pusat ini bagi memastikan pusat ini dapat terus beroperasi dengan baik dan menarik lebih ramai peminat sukan berkuda.
“Fokus saya buat masa ini, adalah untuk memastikan kebajikan 35 ekor kuda di sini. Kedua, pelajar-pelajar atau siapa yang berhasrat menggunakan kemudahan di sini mendapat access yang terbaik.
“Dan ketiga supaya pusat ekuestarian ini ditadbir urus dan dioperasikan dengan sempurna sebab ada beberapa kemudahan yang sudah rosak dan perlu ditambahbaik,” katanya.
Beliau turut meluangkan masa melawat kawasan sekitar Pusat Equestrian Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur selepas meyerahkan surat tawaran berkenaan. -PAHANGEMEDIA

