Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 28 SEPTEMBER 2024: Malaysia Book of Records mengiktiraf Program Pahang International Scout Scarf Festival (PISFF) 2024 kerana berjaya mencatatkan penyertaan paling besar pada tahun ini.
Program yang diadakan di Stadium Darul Makmur, di sini itu mendapat penyertaan seramai 19,397 peserta tidak hanya dari dalam negara, malah juga dari lima negara luar iaitu Indonesia, Thailand, Myanmar, Singapura, dan Brunei.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Negeri Pahang amat menyokong penganjuran program seumpama itu di negeri ini.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah menyumbangkan sebanyak RM30,000 termasuk memberikan kemudahan percuma di dalam mahupun luar stadium bagi penganjuran program berkenaan.

“Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Kita lihat satu sinergi yang cukup baik di mana pengakap ini menyatukan kita tidak kira kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli mahupun orang dari luar negara bersama bersatu hati menjayakan program ini.
“Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan jika tiada kesepakatan dan kepercayaan yang dibina dalam pengakap itu sendiri,” katanya kepada media selepas selesaikan menyempurnakan program PISSF 2024 berkenaan yang bermula seawal jam 8 pagi itu.
YB. Tuan Fadzli juga memberitahu, program anjuran Sekretariat Pengakap Kelana Negeri Pahang itu merupakan penganjuran kali kedua diadakan di negeri ini di mana penganjuran kali pertama tahun lalu mendapat penyertaan sekitar 8,000 peserta.

Katanya lagi, pada kali ini bagi negara luar, Indonesia menghantar penyertaan paling ramai manakala bagi peringkat negeri, Johor mencatatkan penyertaan paling tinggi iaitu lebih 1,700 penyertaan.
“Saya juga mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pengakap di negeri-negeri lain yang telah mengambil bahagian. Saya telah sebutkan kepada ketua pesuruhjaya pengakap Pahang tadi supaya Pahang juga mengambil bahagian menyokong penganjuran program pengakap di negeri lain.
“Saya difahamkan Perak insyaAllah akan akan menganjurkan pasa tahun 2026, juga hendak buat di stadium. Jadi kuta kena sokong atas semangat kuta berpengakap ini yang saya tengok bagi manfaat yang cukup positif dalam kalangan anak-anak dan ahli-ahli pengakap kita,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

