Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 28 SEPTEMBER 2024: Kerajaan Negeri melalui Tourism Pahang menasihatkan pengunjung yang ingin berkunjung ke Pahang ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) untuk merancang percutian mereka.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, pengunjung juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat berkaitan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Katanya, pengunjung turut diingatkan untuk mematuhi notis yang dikeluarkan dari semasa ke semasa, antaranya oleh Jabatan Perhutanan Pahang sekiranya ingin melakukan aktiviti berkaitan pendakian dan sebagainya.
“Memang kita sedia maklum bahawa negeri Pahang berada di Pantai Timur.. jadi Oktober hingga Februari adalah musim monsun.
“Kita berharap pengunjung boleh merujuk notis-notis daripada agensi yang berkaitan sebab kekuatan kita adalah eko pelancongan dan orang ramai boleh mematuhi arahan dari semasa ke semasa,” katanya selepas merasmikan Festival Moh Ngopi Pahang 2.0 2024 bertempat di Old Garage Cafe,di sini semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, YB. Encik Kamaruddin Ibrahim dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pahang, YB. Encik Mohd Fharid Saidu.
Festival Moh Ngopi Pahang 2.0 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam menghimpunkan lebih 30 vendor termasuk peniaga kopi dari seluruh negara.
YB. Puan Leong Yu Man dalam pada itu memberitahu, walaupun Pahang ada MTL, tidak bermakna tempoh terbabit tidak sesuai melakukan aktiviti pelancongan di negeri ini.
“Sebagai contoh di Pantai Cherating. Monsun ini adalh tempoh untuk peminat sukan luncur. Di Rompin tahun lepas kita ada Monsun Cup untuk sukan golf di mana makn di golf pada musim hujan di padang golf itu lebih menyeronokkan.
“Kita juga boleh mencungkilkan potensi sesetengah tempat pelancongan yang boleh dinaikkan dalam musim monsun ini,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

