Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 28 SEPTEMBER 2024: Kerajaan Negeri melalui Tourism Pahang berhasrat untuk menjadikan negeri Pahang khususnya di daerah ini sebagai hab bagi mengumpulkan penggemar-penggemar kopi seluruh negara.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, ia berikutan penganjuran Festival Moh Ngopi 2.0 yang dianjurkan di Old Garage bermula Jumaat dan berakhir Ahad itu dilihat mampu menghimpunkan peminat dan pengusaha kopi bukan sahaja dari negeri ini malah juga dari negeri luar seperti Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.
Katanya, festival itu juga dilihat mampu memberi impak kepada Negeri Pahang terutama dalam menarik kedatangan pelancong sekali gus menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat.

“Jadi kita berharap bahawa festival ini mendapat beberapa impak pertamanya dengan menjadikan Pahang sebagai hab perhimpunan untuk peminat dan pengusaha kopi.
“Keduanya, dengan menjadikan Old Garage ini sebagai tempat perhimpunan untuk acara khususnya yang istimewa sebagai contoh yang berkonsepkan vintaj.
“Yang ketiga, untuk membawa impak ekonomi kepada masyarakat tempatan. Dan kita juga berharap bahawa untuk jangka masa panjang kita dapat mengeratkan kerjasama khususnya dari anak-anak muda Pahang di Kuantan menjadikan Kuantan sebagai pilihan destinasi untuk kafe dan kopi,” katanya dalam satu sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Festival Moh Ngopi 2.0 di Old Garage Cafe, di sini semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, YB. Encik Kamaruddin Ibrahim dan Pengarah MOTAC Pahang, YB. Encik Mohd Fharid Saidu.
Beliau dalam pada itu turut mencadangkan agar disediakan satu peta lokasi kedai kopi yang menarik yang terdapat di negeri ini khususnya di daerah ini.
“Kita berharap bahawa kita boleh bekerjasama dengan Tourism Pahang dan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni san Budaya), mungkin boleh adakan satu peta untuk menyenaraikan kafe yang berkualiti dan dapat menarik pengunjung.
“Jadi bila pengunjung sampai ke Kuantan, mereka ada panduan ke mana hendak pergi. Saya tengok kawan saya pergi luar dan saya tanya kenapa tidak datang Kuantan? Rugi. Kuantan ada juga,” ujarnya.
YB Puan Leong Yu Man juga berkata, Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang akan terus komited dan konsisten dalam menganjurkan acara sebegini dalam usaha memastikan industri pelancongan khususnya pelancongan gastronomi di negeri Pahang berkembang maju. – PAHANGMEDIA

