Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
TEMERLOH, 27 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Pahang memandang serius isu yang membabitkan Global Ikhwan Service And Business Holding (GISBH) di negeri itu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan berhubung kes yang sedang hangat diperkatakan di seluruh negara ketika ini.
“Kita ambil serius perkara ini dan kita akan memberikan kerjasama kepada pihak polis,” katanya selepas menyampaikan suratan hak milik pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah FELCRA Kerdau Dan Skim Tanah Rakyat (STR) Daerah Temerloh yang diadakan di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Peragap di Temerloh, hari ini.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba, Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah dan penyelaras-penyelaras DUN.
Pada majlis itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy telah menyampaikan 1,465 hakmilik tanah termasuklah FELCRA Kerdau 1, 2 dan 3 serta 14 Skim Tanah Rakyat (STR) di Daerah Temerloh.
Jelasnya, Kerajaan Pahang mensasarkan jumlah hakmilik tanah dapat ditingkatkan kepada 1 juta hakmilik dengan lebih 800,000 telah mendapat hakmilik masing-masing.
“Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan pemberian hakmilik 1 juta menjelang tiga, empat tahun akan datang, sekarang sudah ada lebih 800,000 hakmilik membabitkan semua hakmilik sama ada FELDA atau FELCRA di Pahang, siapa yang ada geran kita kira dalam kategori itulah,” katanya. -PAHANGMEDIA

