Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
RAUB, 26 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengingatkan para pelajar di negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan persepsi negatif berkenaan mendapatkan pendidikan formal sehingga ke peringkat tertinggi.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata ini bagi mengelakkan anak muda di Pahang dipengaruhi oleh pemikiran negatif pihak yang tidak bertanggungjawab melalui perkongsian di media sosial.
“Saya bagi contoh tadi ada influencer yang mengatakan bahawa pendidikan formal ini tidak penting, belajar di universiti ini tidak perlu untuk kita cipta kejayaan dalam hidup.

“Ini bagi saya adalah satu perkongsian yang boleh mengelirukan pelajar sebab kebanyakan yang berjaya ini mereka melalui proses yang sama di universiti tapi bila dah berjaya mereka menafikan manfaat yang mereka peroleh ketika belajar di universiti.
“Kepimpinan di peringkat negeri kita sentiasa sebut perkara ini sebab kita tak nak anak-anak khususnya pelajar di Pahang ini terkesan atau dipengaruhi dengan perkongsian pandangan negatif yang akhirnya akan membentuk satu kepercayaan yang seolah-olah ianya benar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa kepada 365 pelajar bagi daerah Raub di Dewan Jubli Perak.
Turut hadir, Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Khuzaidi Harun; Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Mohd Shahril Abd Rahman; dan Kadi daerah Raub, Tuan Muhammad Amin Abdul Mutalib
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa mencari alternatif bagi memudahkan dan membantu para pelajar di negeri ini untuk menyambung pelajaran melalui insentif-insentif yang diberikan.
“Padahal proses pembelajaran itu perlu ke peringkat yang lebih tinggi dan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menyampaikan dan berkongsi kepada seluruh rakyat.
“YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut perihatin dengan meningkatkan kadar sumbangan kepada Kluster Siswa daripada RM300 kepada RM400.
“Ini adalah sebagai tanda keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap anak-anak Pahang yang sedang menggapai cita-cita mereka dalam sudut pendidikan,” katanya. -PAHANGMEDIA

