Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
RAUB, 26 SEPTEMBER 2024 : Lebih 800 umat Islam di daerah ini berarak mengelilingi bandar Raub sambil mengalunkan qasidah dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW hari ini.
Perarakan itu diketuai Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1446 Hijrah Peringkat Daerah Raub.

YB. Tuan Fadzli berkata terdapat lebih 18 kontijen terlibat pada perarakan ini mewakili pelbagai jabatan, agensi kerajaan serta swasta, institusi pendidikan, dan masjid.
“Ramai yang mengambil bahagian, ada lebih 18 kontinjen yang berarak dalam Sambutan Maulidur Rasul kali ini.
“Yang menariknya pelbagai lapisan umur daripada kanak-kanak, dewasa, dan orang tua, wanita, pesara tentera, dan pelbagai agensi kerajaan yang lain.

“Sesungguhnya program ini penting bagi kita memperingati Rasulullah SAW dan pengisiannya tadi juga cukup baik dan saya harap program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1446 Hijrah Peringkat Daerah Raub di Dewan Jubli Perak Raub.
Sementara itu, menurut Kadi daerah Raub, Tuan Muhammad Amin Abdul Mutalib berkata program yang sinonim dengan umat Islam ini berjaya menarik ramai peserta untuk turut mengambil bahagian.

“Kita mengadakan perarakan bermula daripada Dataran Raub dan berakhir di Dewan Jubli Perak Raub yang disertakan dengan kita melantunkan pujian dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
“Kita lihat sambutan ini mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, orang awam, dan ia menunjukkan sambutan ini diterima,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Khuzaidi Harun; Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Mohd Shahril Abd Rahman; dan ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

