Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUCHING, 24 SEPTEMBER 2024 : Atlet para SUKMA Kontinjen Pahang merupakan aset berharga bagi negeri itu kerana semangat dan iltizam yang tinggi ketika berentap pada temasya dwitahunan itu yang kini sedang berlangsung di Sarawak sehingga 28 September nanti.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, komitmen atlet-atlet para ini membuktikan kesungguhan bagi menyumbang pingat untuk Kontinjen Pahang meskipun dalam keadaan yang tidak sempurna.
“Sesungguhnya saya bangga dengan kesungguhan mereka, mereka membuktikan bahawa iltizam dan semangat juang yang tinggi membolehkan mereka menyumbang pingat walaupun kita tahu keadaan mereka bukanlah sempurna, ini membuktikan bahawa jika ada kemahuan, di situ ada jalan.
“Mereka berjanji dengan saya mereka akan beri yang terbaik dan saya dapat saksikan di gelanggang ini untuk sukan lawn bowls, memanah, olahraga dan acara-acara yang disertai mereka memang bersungguh-sungguh dan pada saya tidak ada bezanya mereka dengan atlet-atlet sempurna yang lain, mereka adalah aset berharga untuk Negeri Pahang itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengalungkan pingat kepada para pemenang acara Lawn Bowls yang berlangsung di Arena Lawn Bowls Petrajaya, Kuching, hari ini.
YB. Tuan Fadzli turut menyatakan perasaan terharu ketika menyaksikan atlet para beraksi bagi acara sukan masing-masing dan menyifatkan kesemua atlet sama ada atlet SUKMA atau atlet Para SUKMA adalah sama dan istimewa buat Negeri Pahang.
Pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kali ini, Kontinjen Pahang telah menghantar seramai 62 atlet yang akan berentap dalam sembilan daripada 10 acara sukan dipertandingkan bermula 22 hingga 28 September 2024. – PAHANGMEDIA