Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2024 : Kerjasama antara Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dengan sebuah kolej berprestij di China, Chengdu Industry and Trade College (CITC) merupakan langkah penting dalam meningkatkan akademik dan memupuk inovasi pendidikan negara.
Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd., Yang Hormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, seiring dengan itu, UCYP dan CITC telah bersama-sama menawarkan dua program diploma untuk diikuti pelajar negara terbabit.
Dua program diploma berkenaan ialah Diploma in Internet of Things (IoT) Aplication dan Diploma in Applied Information Security dimana bagi pengambilan pertama seramai 144 pelajar memulakan pengajian mereka bulan ini.
“Seperti yang kita sedia maklum, dunia sedang berkembang pesat didorong oleh kuasa teknologi dan globalisasi. Dalam era ini, kolaborasi antarabangsa penting dalam menyediakan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang mereka perlukan untuk berkembang maju.
“Berpandukan visi ini, UCYP telah bekerjasama dengan CITC bersama-sama menawarkan dua program diploma yang sangat relevan dan banyak mendapat permintaan ini,” katanya.
Yang Hormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata demikian ketika berucap bersempena Majlis Pembukaan Kelas 2024 Kerjasama Program Malaysia-China: Kolaborasi antara UCYP dan CITC bertempat di CITC, Chengdu China, pagi tadi.
Beliau juga berkata, program yang disediakan itu disesuaikan untuk menangani tuntutan landskap digital yang semakin berkembang pesat disamping menyediakan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam bidang termaju seperti IoT dan keselamatan siber.
“Melalui perkongsian ini, matlamat kami adalah untuk menghasilkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang mereka tetapi juga berdaya saing di peringkat global serta bersedia untuk menangani cabaran dan merebut peluang abad ke-21,” ujarnya.
Tambahnya lagi, UCYP memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan dan kualiti program yang ditawarkan justeru atas dasar tanggungjawab dan persetujuan bersama, UCYP akan menyediakan tenaga pengajar mereka bagi mengikuti satu pertiga proses pengajaran program yang ditawarkan.
“UCYP juga akan membangunkan dan menyediakan semua bahan pengajaran yang diperlukan termasuk buku teks, bahan rujukan dan kertas peperiksaan selain pelajar yang mendaftar dalam program ini akan disenaraikan di laman web UCYP di bawah ‘Chinese-Foreign Cooperatively-Run Educational Project’.
“Semua pelajar juga akan mendapat akses percuma kepada sumber digital UCYP dan perpustakaan dalam talian selain akan dianugerahkan siji tamat pengajian daripada UCYP setelah tamat pengajian nanti,” katanya lagi.
Katanya lagi, pelajar menyertai program pengajian terbabit juga akan diberi peluang untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UCYP pada masa hadapan.
“Kerjasama antara UCYP dan CITC mengeratkan ikatan antara Malaysia dan China di samping membuka jalan untuk kerjasama masa depan dalam pendidikan, penyelidikan dan seterusnya,” katanya.-PAHANGMEDIA