Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2024 : Pavilion Pahang pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang melabuhkan tirai semalam merekodkan kehadiran 225,010 pengunjung dalam tempoh 12 hari penganjuran.
Menurut Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, YM. Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah, jumlah ini melebihi sasaran pengunjung yang ditetapkan sebelum ini iaitu 62,000 pengunjung.

“Bagi MAHA 2024, kita telah berjaya mencapai sasaran pengunjung yang ditetapkan pada hari kelima penganjuran iaitu seramai 63,920 pengunjung telah direkodkan.
“Jumlah pengunjung bagi MAHA 2024 adalah sangat menggalakkan berbanding hanya 52,481 pengujung direkodkan hadir ke Pavilion Pahang pada MAHA 2022.
“Kita merekodkan jumlah pengunjung tertinggi dalam tempoh 12 hari pameran adalah pada hari terakhir, iaitu semalam, sebanyak 45,357 orang pengunjung,” katanya.

Menurut data yang direkodkan, jumlah pengunjung ke Pavilion Pahang menunjukkan peningkatan ketara setiap hari bermula dengan 1,735 pengunjung direkodkan hadir pada hari pertama pembukaan MAHA 2024 pada 11 September.
Seramai 3,916 pengunjung direkodkan mengunjungi Pavilion Pahang pada hari kedua, hari ketiga (4,632); hari keempat (9,742); hari kelima (10,516); hari keenam (18,048); hari ketujuh (15,330); hari kelapan (20,686); hari kesembilan (20,014); hari ke sepuluh (32,551); hari kesebelas (43,112); dan hari terakhir (45,357).
MAHA 2024 yang merupakan edisi ke-100 ini telah berlangsung selama 12 hari bermula 11 September hingga 22 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang. -PAHANGMEDIA

