Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUCHING, 23 SEPTEMBER 2024 : Upacara Perasmian Pembukaan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang berlangsung malam tadi di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 hadirin.
Upacara pembukaan telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang hadir bersama isteri, YBhg Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir ialah Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Abang Haji Openg dan Menteri Belia dan Sukan, YB. Puan Hannah Yeoh.
Manakala Kerajaan Pahang pula diwakili Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, YBrs Encik Mu’azzamir Jili dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), YBrs Tuan Haji Zamri Hassan.

Perarakan Kontinjen Pahang telah diketuai Ketua Kontinjen Pahang, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin dengan 62 atlet bakal berentap dalam sembilan daripada 10 acara sukan dipertandingkan.
Majlis pembukaan dimulakan menerusi segmen ‘Semangat Juang’ yang memaparkan persembahan oleh dua orang kurang upaya, kumpulan silat Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo dan paluan gendang oleh lapan wakil Persatuan Tabaubrian Singa dan Naga Drum.
Acara kemudiannya diteruskan dengan perarakan masuk kontinjen bertanding dimulakan dengan Terengganu dan diakhiri Sarawak yang mendapat sorakan gemuruh penyokong tuan rumah di dalam stadium.
Atlet tuan rumah Leeyendy Jisen Abdullah dari sukan olahraga kemudian mengambil tempat melafazkan ikrar bersama Arang Kanna Sondarajan yang mewakili pegawai teknikal Para SUKMA 2024 sebelum kontinjen bergerak keluar dari arena.

Obor Para SUKMA XXI Sarawak 2024 pula telah dinyalakan oleh pemenang dua pingat emas Paralimpik yang juga atlet angkat berat dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin menandakan bermulanya Para SUKMA dengan lebih 1,200 atlet dari 15 kontinjen bertanding pada temasya dwitahunan itu.
Atlet Bonnie telah diiringi bekas atlet dan atlet Sarawak terdiri Paralimpian dari sukan renang, Jamery Siga, Batricia Richael Santau (olahraga), Fatimah Wagimin (powerlifting) dan Ting Ing Hock (ping pong).
Perasmian Para SUKMA Sarawak turut dimeriahkan dengan pertunjukan pancaran cahaya laser yang melatari setiap persembahan selain tarian daripada pelbagai etnik dan persembahan daripada artis terkenal Bob Yusof.
Persembahan tarian tradisional kreatif ‘Segulai Sejalai’ oleh barisan penari kanak-kanak diikuti pertunjukan bunga api di luar stadium melengkapkan malam perasmian pembukaan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 itu.
Sebanyak 328 pingat emas daripada 10 jenis sukan iaitu olahraga, angkat berat, badminton, renang, ping pong, boling padang, memanah, boccia, tenpin boling dan catur menjadi buruan atlet pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024. -PAHANGMEDIA

