Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2024 : Pahang mencatatkan nilai jualan langsung sebanyak RM527,151.30 pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Serdang.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, YM. Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah berkata jumlah ini melebihi sasaran sebanyak RM333,151.30 berbanding yang ditetapkan iaitu sebanyak RM194,000.
“Bagi MAHA 2024, kita menetapkan sasaran nilai jualan sebanyak RM194,000 iaitu peningkatan 10 peratus berbanding jumlah hasil jualan pada MAHA 2022 iaitu sebanyak RM176,676.
“Kita merekodkan nilai jualan tertinggi pada hari kesebelas pameran iaitu sebanyak RM72,092.30, diikuti hari terakhir pameran yang merekodkan jumlah jualan sebanyak RM70,175.95.

“Dan kita telah berjaya mencapai jumlah jualan sasaran sebanyak RM194,000 pada hari keenam pameran di mana kita telah merekodkan jumlah keseluruhan nilai jualan sebanyak RM204,395.30 pada tempoh berkenaan,” katanya.
Tambah beliau lagi, sebanyak 17 usahawan telah menyertai jualan di Pavilion Pahang pada MAHA 2024 yang melibatkan jualan makanan, minuman, dan buah durian.
Untuk rekod, nilai jualan pada hari pertama pembukaan MAHA 2024 di Pavilion Pahang adalah sebanyak RM14,471.65; hari kedua (RM21,017.95); hari ketiga (RM22,533.75); hari keempat (RM38,605.55); hari kelima (RM46,624.00); hari keenam (RM61,142.40); hari ketujuh (RM46,394.00); hari kelapan (RM41,718.20); hari kesembilan (RM47,355.05); hari kesepuluh (RM45,020.50); hari kesebelas (RM72,092.30); dan hari terakhir (RM70,175.95).
Antara produk yang dibawa ke MAHA 2024 adalah durian Musang King, Black Thorne, XO, D24; masakan gulai tempoyak patin; kopi, cendil; puding raja; lemang Tok’ki; dan susu Farm Fresh.
MAHA 2024 yang telah berlangsung selama 12 hari bermula 11 September hingga 22 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang ini merupakan edisi ke-100 MAHA. -PAHANGMEDIA

