Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUCHING, 22 SEPTEMBER 2024 : Pahang menunjukkan permulaan baik apabila berjaya memenangi lima kategori peringkat kumpulan menerusi sukan boling padang acara itu yang berlangsung di Area Lawn Bowls, Kuching di Sarawak, pagi tadi.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, semangat hebat yang ditunjukkan oleh atlet-atlet Pahang memberikan kekuatan kepada kontinjen Pahang untuk terus berjuang mengharumkan nama Pahang.

“Pahang nampaknya boleh mara ke peringkat seterusnya dan InsyaaAllah kita akan bagi sokongan padu untuk sukan lawn ball ini dan esok semua sukan lain pula atau acara lain akan dipertandingkan.
“Saya tengok semangat atlet-atlet Pahang berada dalam kedudukan yang terbaiklah setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan acara Boling Padang yang diadakan Arean Lawn Bowls Kuching di Sarawak.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dan YBrs Encik Mu’azzamir Jili, Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), YBrs Tuan Haji Zamri Hassan dan Ketua Kontinjen ke Para SUKMA XXI Sarawak 2024, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para atlet agar dapat menjaga disiplin dan mendapatkan rehat yang cukup sebelum bertarung pada acara sukan masing-masing.
“Saya minta atlet jaga disiplin, tidur dan rehat yang mencukupi dan selebihnya kita serah kepada keupayaan mereka untuk bertarung pada acara berikut,” katanya.
Pada Para SUKMA kali ini, Pahang menghantar seramai 104 kontinjen termasuklah 56 atlet para bagi menyertai sembilan acara daripada 10 yang dipertandingkan iaitu boling padang, memanah, renang, catur, olahraga, boccia, angkat berat, badminton dan boling tenpin manakala satu acara yang tidak disertai ialah pingpong.
Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kali ini disertai sebanyak 15 kontinjen dari seluruh negara dengan penyertaan seramai 2,111 atlet yang berentap dalam 10 acara yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

