Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUCHING, 22 SEPTEMBER 2024 : Para atlet dan jurulatih dari Kontinjen Pahang kelihatan bersemangat dan bersedia menggalas cabaran pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang berlangsung bermula 22 hingga 28 September ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kesemua 104 kontinjen termasuklah 56 atlet telah pun memulakan latihan dan turun ke gelanggang masing-masing.
“Kita tadi bertemu dengan pengurus dan jurulatih Pahang ke Para SUKMA kali ini, mereka tiba awal pagi (21 September) jam 1 pagi tadi tapi dalam keadaan yang saya tengok cukup bersemangat dan siap sedia untuk menggalas cabaran Pahang pada Para SUKMA kali ini.
“Dan tadi atlet-atlet kita pun ke gelanggang atau lokasi pertandingan untuk latihan awal jadi hari ini dan esok ada cubaan turun pada di gelanggang-gelanggang yang akan menjadi lokasi pertandingan kali ini,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Hikmah Exchange Event Centre di Kuching, Sarawak.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dan YBrs Encik Mu’azzamir Jili dan Ketua Kontinjen ke Para SUKMA XXI Sarawak 2024, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin.
Turut hadir pada majlis itu ialah wakil Premier Sarawak, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kedua Sumber Asli Dan Pembangunan Luar Bandar merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak, YB. Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, YB. Dato’ Sri Hajjah Fatimah Abdullah.
Pada Para SUKMA kali ini, Pahang menyertai sebanyak sembilan acara daripada 10 yang dipertandingkan termasuklah boling padang, memanah, renang, catur, olahraga, boccia, angkat berat, badminton dan boling tenpin manakala satu acara yang tidak disertai ialah pingpong.
Pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kali ini disertai sebanyak 15 kontinjen dari seluruh negara dengan penyertaan seramai 2,111 atlet yang berentap dalam 10 acara yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

