Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 OGOS 2024 : Seramai lebih 5,600 belia graduan Yayasan Pahang (YP) Advanced Skills telah berjaya dilatih dan ditempatkan ke industri sejak 2018 di bawah program jaminan kerjaya.
Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, program jaminan kerjaya ini merupakan program lain yang ditawarkan oleh YP Advanced Skills selain program pensijilan kemahiran.
“Selain daripada program pensijilan kemahiran yang dijalankan di YP Advanced Skills, saya turut dimaklumkan mengenai program jaminan kerjaya yang menawarkan pelbagai bidang seperti offshore, barbering, IOT, perladangan, kimpalan dan perkhidmatan di pelabuhan.
“Program ini semakin berkembang dan mendapat permintaan di kalangan belia di negeri Pahang. Sejak tahun 2018 seramai lebih 5,600 belia telah berjaya dilatih dan ditempatkan ke industri dan mampu mencapai pendapatan hingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia YP Advanced Skills 2024 mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, yang turut dihadiri Pengurus Besar YP Advanced Skills, YBhg. Puan Nor Liza Abd. Mubin.

Tambah beliau, jumlah peningkatan graduan berkemahiran ini selari dengan visi New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) bagi memastikan pertumbuhan mampan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) telah menggariskan visi yang jelas bagi memastikan pertumbuhan mampan sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan termasuklah melahirkan pekerja berkemahiran dengan pendapatan tinggi melalui pewujudan peluang pekerjaan berasaskan inovasi serta penciptaan pekerjaan bernilai tinggi bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.
“Matlamat pembangunan NIMP 2030 adalah mengatasi isu ketidaksepadanan kemahiran (skills mismatch) dan kekurangan bakat (talent shortage) melalui strategi yang komprehensif bagi pekerjaan masa hadapan,” katanya.
Beliau dalam ucapannya turut memuji inisiatif YP Advance Skills yang turut merekodkan peningkatan dalam jumlah graduan melibatkan graduan tahfiz dan sekolah pondok.
“Saya turut ingin memberi pujian kepada YP Advanced Skills atas inisiatif menaiktaraf bidang kerjaya anak-anak tahfiz dan sekolah pondok. Kejayaan menempatkan mereka di dalam bidang seperti kulinari, pembuatan pastry, facility management, iron fabrication, travel agency dan lain – lain lagi patut dibanggakan dan wajar menjadi contoh.
“Peningkatan jumlah graduan yang sangat besar iaitu 72 orang pada tahun ini berbanding 8 orang pada tahun lepas menunjukkan satu perkembangan yang sangat positif dan dapat dilihat program ini diterima baik oleh ramai pihak. Semoga jumlahnya akan terus bertambah dari tahun ke tahun,” katanya.-PAHANGMEDIA

