Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 OGOS 2024 : Seluruh rakyat Pahang dijemput memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2024 bertempat di Padang MBK 1, di sini, Sabtu ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau berharap sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka akan dapat menarik lebih ramai pengunjung berbanding tahun sebelum ini.

“Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dijangka berangkat ke sambutan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2024 bertempat di Padang MBK 1 hari ini.
Katanya, raptai pada hari ini berjalan lancar dengan melibatkan seramai 5,000 peserta daripada pelbagai agensi dari seluruh negeri ini.
“Alhamdulillah kita dapati kerjasama agensi-agensi kerajaan yang terlibat baik sebab lagipun perkara-perkara ini telah kita laksanakan setiap tahun jadi tiada masalah yang kita dapati,” katanya.-PAHANGMEDIA

