Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2024 : Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) hari ini.
Memorandum ini melibatkan kerjasama strategik di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan MYSA di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Perjanjian ini ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNP, Encik Mohd Razif Abdul Malek dan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YH. Dato’ Mohd Faizal Jaafar yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang.
Manakala MYSA di wakili Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, YBrs. GS. Tuan Haji Azlikamil Napiah.
Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.
Menerusi MoU ini PKNP yang telah memulakan kerjasama bersama pihak MYSA sejak November 2023 bertanggungjawab dalam meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial negeri Pahang terutamanya di kawasan luar bandar dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan melaksanakan projek-projek dalam bidang perlombongan, perladangan, perindustrian, hartanah dan projek-projek khas lain.
Kepakaran dalaman penyelidik Kerajaan khususnya di MYSA boleh digunakan untuk membantu pengoperasian PKNP bagi memastikan perancangan, pengurusan dan pemantauan projek-projek yang dilaksanakan oleh PKNP dapat dijalankan dengan lebih cekap dan berkesan.-PAHANGMEDIA