Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
PUTRAJAYA, 26 OGOS 2024 : Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB. Puan Hannah Yeoh hari ini.
Menurut YB. Tuan Fadzli, lawatan di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini juga khusus bagi membincangkan penaiktarafan fasiliti dan kemudahan di Stadium Darul Makmur (SDM).
“Dan beberapa perkara yang dibangkitkan adalah berkenaan dengan naiktaraf lampu limpah dan juga wiring di seluruh stadium.

“Yang keduanya penambahan tempat duduk di seluruh stadium dan juga expansion joint dan water proofing sebab Stadium Darul Makmur ini adalah bangunan lama, ada yang bocor dan sebagainya.
“Jadi saya dah menyatakan hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk mendapatkan sokongan Menteri Belia dan Sukan, YB. Hannah Yeoh untuk bantu dari segi peruntukan untuk menaiktaraf kemudahan dan fasiliti di Stadium Darul Makmur ini,” katanya.
Beliau berkata pertemuan yang membawa nada positif berkenaan itu juga dilihat cukup penting bagi menaiktaraf SDM memandangkan peruntukan yang diperlukan bagi pelaksanaannya adalah sangat besar.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan Menteri Belia dan Sukan untuk mewujudkan sekolah sukan bagi Orang Asli dilihat sebagai satu cadangan yang baik untuk memperkasakan bidang sukan.
“Cadangan beliau akan kita perhalusi dan perkara ini saya perlu sampaikan kepada YAB. Menteri Besar Pahang dan juga di bawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pahang.
“Secara dasarnya saya sambut baik cadangan mewujudkan sekolah sukan Orang Asli, ia satu cadangan yang baik dan saya akan bawa segera ke pengetahuan YAB. Menteri Besar Pahang,” katanya.
Pertemuan hampir satu jam itu turut disertai Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, YBhg. Encik Izad Zainal Muhammad Saffian, dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, Encik Mu’azamil Jili. -PAHANGMEDIA

