Oleh : Fansurina Abdullah
KUCHING, 23 OGOS 2024 : Atlet angkat berat Pahang, Muhammad Farris Haikal Kamarul, 19, ingin menjadikan Pahang sebagai pemegang rekod emas bagi sukan itu pada SUKMA akan datang apabila dia berjaya menewaskan atlet dari Sarawak dan Perak pada perlawanan akhir menerusi acara Kat Melebihi 90 kilogram Lelaki.
Walau bagaimanapun, katanya, dia tidak menjangka akan memperoleh emas kerana berada pada kedudukan keempat ketika SUKMA XX Kuala Lumpur pada 2022.
Oleh itu, dia sangat terharu dan gembira kerana segala usaha keras pelbagai pihak terutama jurulatih telah membuahkan hasil.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih, pengurus pasukan dan persatuan Angkat Berat Pahang serta Majlis Sukan Pahang atas peluang yang diberikan.
“Perasaan saya amat berbangga dan terharu dapat membawa pulang pingat emas untuk Negeri Pahang,” katanya.
Muhammad Farris Haikal berkata, pada acara final yang berlangsung di Betong, Sarawak itu telah menggabungkan kedua-dua jurusan iaitu ‘snatch’ dan ‘clean and jerk’ yang memberikan cabaran kepadanya.
Selain itu, kebanyakan atlet angkat berat lain merupakan senior dan lebih berusia daripada beliau yang baru berusia 19 tahun.
Dia yang mula berjinak-jinak dengan sukan angkat berat sejak berusia 13 tahun ingin mengembangkan sukan yang diceburinya ini ke peringkat lebih tinggi.
Pada SUKMA Sarawak XXI 2024 kali ini, sukan angkat berat telah menghantar seramai 12 atlet dengan tujuh lelaki manakala lima wanita.-PAHANGMEDIA

