Oleh : Fansurina Abdullah
KUCHING, 23 OGOS 2024 : Cuaca tidak menentu sepanjang SUKMA Sarawak XXI 2024 berlangsung memberikan cabaran buat atlet memanah Pahang terutama ketika berhadapan cuaca hujan lebat.
Ketua Jurulatih Memanah Pahang, Mohd Rizaini Pandak Mohd berkata, meskipun cuaca tidak menentu dengan keadaan lapang sasar yang masih dalam kerja pembaikan, namun atlet memanah Pahang sudah pun dipersiapkan untuk menerima apa sahaja keadaan secara mental dan fizikal.
“Untuk cabaran kali ini memang kita dah agak cumanya kita tidak menjangka padang belum siap lagi tetapi kita sudah bersedia dengan kasut but dan kasut ‘spare’.
“Kalau hujan pun boleh pening kepala dan momentum mereka juga akan menurun sikit kerana bila ‘shoot’ arrow akan jatuh ke bawah jadi masa tu lah mereka kena bijak adjust side ketika memanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perlawanan akhir Recurve Lelaki Berpasukan Pahang menentang Sarawak di Lapang Sasar Memanah Sarawak di Kuching, pagi tadi.
Turut hadir menyaksikan ialah Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP) dan barisan Ahli Jawatankuasa Majlis Sukan Pahang (MSP).
Pada temasya SUKMA Sarawak XXI 2024 kali ini, pasukan memanah Pahang menghantar seramai 16 atlet dengan lapan lelaki dan lapan perempuan bagi menyertai sebanyak empat kategori sukan berkenaan.-PAHANGMEDIA

