KUANTAN, 19 OGOS 2024 : Susulan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh berkenaan institusi Yang Di-Pertuan Agong semasa ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Felda Perasu Khamis lalu, tanda pagar #pertahanpahang mula membanjiri media sosial.
Malah tinjauan di media sosial Facebook mendapati ramai pengguna media sosial mengguna tanda pagar berkenaan untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan Muhyiddin yang telah memperlekeh dan mempertikaikan tugas dan peranan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu Baginda menjadi KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI.
“Memang ucapan Mahiyaddin sangat kurang ajar, walaupun aku bukan anak kelahiran Pahang aku tetap gunakan tetap gunakan #pertahanpahang,” tulis seorang pengguna dengan nama Hanns Mohd.
Seorang pengguna Facebook, Saharah Seman meminta supaya jangan menyemai politik kebencian di Pahang dengan kenyataan menghina raja.
“TS Muhyiddin Yassin telah secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu. Diharapkan agar PDRM dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap TS Muhyiddin Yassin. #pertahanpahang,” katanya.
Bagi AzrOy Syafiq, Muhyiddin dengan jelas telah menghina Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dengan kenyataan beliau itu.
“Walaupun saya bukan anak kelahiran negeri Pahang, saya juga turut bersama menggunakan #PertahanPahang,” katanya.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kemurkaan terhadap Muhyiddin yang menyentuh berkenaan institusi Yang Di-Pertuan Agong semasa ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Baginda dalam satu kenyataan media hari ini turut menzahirkan rasa amat terkilan atas tindakan yang secara sengaja dan sinis telah memperlekeh dan mempertikaikan tugas dan peranan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu Baginda menjadi KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI.
“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan beliau tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri. Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

