Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 OGOS 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya sebuah balai bomba dan penyelamat (BBP) diwujudkan di kawasan Tanjung Lumpur.
Baginda bertitah balai bomba bagi kegunaan Tanjung Lumpur dan sekitar diperlukan bagi mempercepatkan bantuan sampai sekiranya berlaku kecemasan di kawasan ini berbanding menggunakan khidmat bomba daripada BBP Kuantan dan BBP Taman Tas.
“Saya pun tidak nampak mana balai bomba di kawasan Tanjung Lumpur dan Inderapura ini.
“Sudah sampai masanya kita perlu adakan balai yang sesuai untuk kawasan ini. Semakin hari semakin banyak pembangunan di kawasan dan kita harap ini dapat diusahakan pihak kerajaan,” titah baginda.

Baginda turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati supaya tidak menyebabkan kebakaran daripada berlaku pada musim kemarau ini.
“Kebakaran ini bukan sahaja disebabkan oleh cuaca kering. Ada juga disebabkan oleh kecuaian manusia.
“Kita nasihat supaya hati-hatilah. Jangan mudah-mudah buang puntung rokok dan bakar sewenang-wenangnya. Kena ambil kiralah perkara yang boleh mengakibatkan kebakaran itu berlaku,” titah baginda lagi.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat di negeri ini supaya berdoa dan menjalankan solat sunat istisqa’ ketika bertitah berkenaan kebakaran hutan dan air sungai kering yang berlaku di negeri ini.
“Saya setiap hari berdoa juga, kita semua rakyat kena berdoa jangan ada kemarau, jangan ada banjir dan segala musibah. Teruskan berdoa,” baginda bertitah.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian selepas bercemar duli melawat tiga buah rumah terbakar di Taman Kempdang Makmur di sini hari ini.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan; dan Pegawai Daerah Kuantan, YH. Dato’ Hajah Aida Munira Abdul Rafar.
Baginda meluangkan masa hampir satu jam menyantuni tiga keluarga mangsa kebakaran kediaman serta mendengar persembahan taklimat daripada Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Tuan Md Gezani Md Ghazi. -PAHANGMEDIA

