Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 OGOS 2024 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kemurkaan kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh berkenaan institusi Yang Di-Pertuan Agong semasa ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Felda Perasu Khamis lalu.
Baginda dalam satu kenyataan media hari ini turut menzahirkan rasa amat terkilan atas tindakan yang secara sengaja dan sinis telah memperlekeh dan mempertikaikan tugas dan peranan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu Baginda menjadi KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI.
“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan beliau tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri. Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah, namun demikian KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik YAB Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada Baginda.
“Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara. Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
“Baginda semasa itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan YAB Perdana Menteri semasa itu dibuat.
“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022. Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah semasa Baginda memilih YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang menitahkan supaya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja telah menyentuh sentimen 3R (bangsa, agama, dan institusi di Raja).
Baginda dalam kenyataan media tersebut juga menasihatkan semua ahli politik, selaku pemimpin rakyat, untuk sentiasa berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia.-PAHANGMEDIA

