Oleh : Fai Shahari
KUANTAN, 3 OGOS 2024 : Syarikat penyedia perkhidmatan kemudahan gerbang pembayaran secara atas talian, Pahang Go Sdn. Bhd. dengan kerjasama MUIP Holdings Sdn. Bhd. melancarkan modul Wakaf Pahang dalam aplikasi Pahang Go bagi membolehkan masyarakat menyumbang kepada program wakaf melalui portal.
Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go Sdn. Bhd., Encik Affandi Mohd Isa berkata, platform digital yang dibangunkan khas itu adalah kesinambungan untuk membolehkan program wakaf memasuki media sosial atau digital, sekali gus memberikan kesenangan untuk berwakaf.
“Umat islam hari ini boleh berwakaf menggunakan aplikasi mobil Pahang Go, klik sahaja di modul wakaf Pahang dan boleh berwakaf. Saya harap dengan adanya kemudahan ini akan menambahkan lagi kutipan wakaf Pahang dan seterusnya akan membantu umat islam,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Modul Wakaf Pahang Dalam Aplikasi Pahang Go oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH Dato Haji Ahmad Hairi Hussain di KOTASAS hari ini.
Sementara itu, YH Dato Haji Ahmad Hairi berkata, tujuan pelancaran modul ini adalah untuk mempelbagaikan sumber-sumber dana wakaf selain akan memudahkan lagi orang ramai untuk membuat tabungan kepada wakaf.
Selain itu, terdapat booth pameran agensi dari anak syarikat MUIP Holdings Sdn. Bhd termasuk Pahang Go dan gerai jualan. – PAHANGMEDIA

