Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Nurin Nadhirah Mohammad Haisam
KUANTAN, 16 JULAI 2024 : Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) bukan sekadar mendidik ilmuan agama yang hebat malah turut melahirkan pelajar tahfiz yang seimbang dunia akhirat apabila turut membuka peluang dan menggalakkan para pelajarnya untuk menyertai sukan golf ke peringkat tertinggi di dalam negara.
Jurulatih golf MTNP, Encik Azizi Kamaruddin berkata, sehingga kini seramai 54 pemain golf di kalangan pelajar tahfiz telah dilahirkan seawal Sekolah Rendah Tahfiz hinggalah ke peringkat MTNP.
“Maahad Tahfiz Negeri Pahang memang memberi sokongan kepada saya dan sedang membina satu pembangunan sukan golf di sini, Alhamdulillah ramai potensi yang saya lihat dalam latihan saya itu, ada yang potensi-potensi yang kita boleh bawa ke tahun hadapan, InsyaaAllah,” katanya.
Sementara itu, wakil MTNP ke Kejohanan Golf MSSM, Muhammad Afiq Darwisy Mohd Zulkhairil berkata, kemampuannya menghafal 15 juzuk Al-Quran setakat ini tidak menghalang minatnya dalam sukan golf yang diceburi seawal usia tujuh tahun kerana berjaya meraih tempat pertama pada kejohanan golf MSSP dan akan mara ke MSSM tidak lama lagi.
Justeru, dengan susun atur jadual yang padat dapat memberi kelebihan kepada Muhammad Afiq Darwisy agar tidak ketinggalan di dalam bidang akademik dan latihan golf setiap hari.
“Saya akan training (berlatih) dengan coach (jurulatih) setiap minggu, itu hari Rabu dan Jumaat petang, kadang-kadang malam Jumaat akan training (berlatih) di luar.
“Selepas sekolah 4.30 petang, saya akan turun berlatih dengan kawan-kawan dekat sini, saya akan training, hafal malam antara Maghrib dan Isyak dah start menghafal dan pagi ada kelas tasmik, selepas kelas tasmik ada kelas akademik,” katanya.
Bagi Muhammad Amsyar Danial Shaharuddin pula, dia yang telah menghafal 30 juzuk Al-Quran membuktikan kecemerlangan rohaniah juga dapat seiring dengan kejayaan bidang akademik dan sukan apabila dia sudah tiga kali berentap di kejohanan golf MSSM.
Justeru, Muhammad Amsyar Danial kini mensasarkan untuk mengembangkan kemahiran bermain golf ke peringkat Sukan Malaysia (SUKMA) dua tahun akan datang.
“Bagi saya sangat fleksibel sebab jadual yang tersusun di sekolah ini sangat kemas seperti mana pada waktu pagi akan ada kelas Al-Quran kemudian kita ada jadual akademik dan petang menguruskan masa lapang, seperti mana kami yang hendak training (berlatih) boleh training di ‘driving range’, pada waktu malam kami boleh menghafal untuk hantar Al-Quran pada esok paginya, kiranya tidak mengganggu masa akademik, masa bersukan, setiap masa ada masa tertentu.
“Saya target InsyaaAllah, saya cuba target untuk mewakili Pahang dalam SUKMA lagi dua tahun, InsyaaAllah,” katanya.
Manakala bagi Muhamad Adam Malik Airulamri pula, keterbukaan MTNP dalam mendorong pelajar-pelajarnya untuk aktif menyertai pelbagai bentuk sukan sangat menggalakkan para pelajar di samping menitikberatkan pendidikan hafazan Al-Quran dan akademik.
Muhamad Adam Malik yang kini sudah menghafal 23 juzuk Al-Quran menyifatkan penyediaan kemudahan latihan golf sebagai galakan daripada MTNP dalam memupuk minat dan membina kebolehan pelajar dalam sukan golf.
“Maahad Tahfiz Negeri Pahang ini menggalakkan kami pelajar-pelajar untuk menyertai aktiviti-aktiviti luar seperti golf, ekuastrian dan juga inovasi,” katanya. – PAHANGMEDIA