Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
SERDANG, 14 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik dua pengumuman yang dibuat YAB. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Felda dengan peruntukan sebanyak RM131.7 juta.
Menurut Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, insentif ini dilihat dapat membantu para pemain industri untuk lebih maju.
“Kita akan mewar-warkan kepada seluruh Felda terutamanya di Negeri Pahang dan di Pahang sendiri, YAB Menteri Besar sangat mengambil berat perkara ini dan akan bersama menyusun strategi baik kepada Felda.
“Dan dengan pengumuman tadi, ini dapat membantu pemain industri di bahagian pengangkutan kerana ia memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri di Dewan MAEPS hari ini.
Turut hadir, YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; dan Pengerusi Felda, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau turut memohon pihak Felda untuk menyusun strategi bagi memastikan pengagihan insentif secara telus dapat disalurkan kepada pemain industri Felda.
“Kita mohon pihak Felda menyusun strategi bagi insentif ini untu diberikan kepada pemain industri dan Kerajaan Negeri mengharapkan pemberian secara telus dapat diberikan kepada pemain industri,” katanya.
YAB Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan dua insentif iaitu peruntukan subsidi tambahan sekitar RM100 juta kepada
FELDA untuk menampung kos pengoperasian ladang akibat penyasaran subsidi diesel, dan RM31.7 juta untuk 317 tanah rancangan FELDA bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI
(SejaTi MADANI). -PAHANGMEDIA

