Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 JULAI 2024 : Lebih 300,000 pengunjung disasarkan akan menghadiri Program Madani Rakyat (PMR) Zon Timur yang bermula hari ini sehingga Ahad ini di Dataran Sayangi Kuantan.
Menurut Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB. Datuk Rubiah Haji Wang, program PMR ini dijangka menarik minat pengunjung berikutan banyak kaunter perkhidmatan disediakan.

“Terdapat 34 pameran reruai serta 188 perkhidmatan daripada kementerian, PSUK Negeri dan agensi menyertai program ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan secara langsung kepada rakyat berdasarkan lokaliti dan demografi setempat.
“Sejumlah 34 acara di pentas utama juga akan dilaksanakan sepanjang program berlangsung. Program yang sering menjadi tumpuan dalam siri Program MADANI Rakyat sebelum ini juga akan disediakan seperti kaunter tawaran pengurangan 50 peratus bayaran saman trafik.
“Pertukaran 3,000 topi keledar motosikal, Jualan MADANI, pameran aset agensi-agensi berkaitan, reruai kesihatan dan lebih 1,700 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Madani Rakyat (PMR) Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan hari ini bersama YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.
Beliau berkata program yang mengetengahkan tema pembangunan usahawan desa menjadi platform dan peluang memasarkan dan memperkenalkan produk kepada pengunjung.

“KKDW juga akan mempromosikan produk-produk dan aktiviti pelancongan luar bandar misalnya, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), memberi peluang pengunjung melihat secara langsung pertandingan gasing, rebana ubi dan aktiviti sepak takraw yang disediakan.
“Agensi lain seperti KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah) mempromosikan Tasik kenyir dan Taman Herba. Pengunjung juga boleh merasai pengalaman menyertai aktiviti di perkampungan Orang Asli yang dibawakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan tiga model rumah daripada suku kaum Semaq Beri, Semai dan Batek,” katanya.
Program MADANI Rakyat yang akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri ini merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lalu dan diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu Kerajaan MADANI. -PAHANGMEDIA

