KUANTAN, 21 JUN 2024 : Pihak Berkuasa Negeri tidak pernah memberi sebarang kelulusan ke atas permohonan pengeluaran hasil tanaman (tapping right) di tanah milik kerajaan di kawasan Kampung Kawah, Sungai Lembing di sini termasuk kepada Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP).
Menurut kenyataan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan, walaupun terdapat beberapa permohonan ‘tapping right’ di atas tanah tersebut namun ia masih lagi diproses di PDT Kuantan dan belum mendapat sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri.
“Merujuk kepada kenyataan (di dalam media) “wujud dokumen urusan antara PPNP dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan” tidak bermaksud pihak PPNP boleh mengusaha tanah tersebut dan PPNP juga tertakluk kepada Kanun Tanah Negara bagi mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri sebelum dapat mengusahakan mana-mana tanah.
“Ini bermaksud pihak PPNP telah melakukan pencerobohan tanah kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana menduduki tanah kerajaan tanpa sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri,” kata kenyataan itu hari ini.
Sebelum itu, media melaporkan, dua individu daripada Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) ditahan dalam satu operasi selepas disyaki meneroka secara haram tanah Kerajaan Negeri di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, PPNP dalam satu kenyataan di Sinar Harian mendakwa dalam operasi berkenaan wakil PPNP telah menunjukkan dokumen permohonan ‘tapping right’ yang dikeluarkan PDT Kuantan serta laporan polis untuk rujukan pihak berkuasa berkenaan urusan yang dijalankan, bukan melakukan pencerobohan seperti kenyataan yang dikeluarkan.
Sehubungan itu juga, PDT Kuantan menafikan aduan pihak PPNP berkenaan arahan mencabut, merobohkan dan memusnahkan segala binaan yang terdapat di dalam Kawasan tanah kerajaan berkenaan.
“Susulan daripada siasatan awal ini, PDT Kuantan telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana menduduki tanah kerajaan secara tidak sah pada 7 Jun 2024. Notis tersebut antara lain mengarahkan supaya pihak PPNP untuk mencabut dan merobohkan segala binaan yang dibina oleh pihak PPNP. PDT Kuantan telah memberikan tempoh selama 14 hari dari tarikh notis tersebut kepada PPNP supaya merobohkan binaan yang dibina oleh pihak PPNP dan meninggalkan kawasan tersebut.
“Pada 20 Jun 2024, PDT Kuantan telah dimaklumkan bahawa seorang pegawai daripada PPNP bernama Ishak bin Ismail, telah membuat satu aduan polis pada 12 Jun 2024 di Balai Polis Panching, daerah Kuantan. Di dalam aduan tersebut ada dimaklumkan bahawa pihak PPNP telah mendapat arahan daripada PDT Kuantan supaya mencabut, merobohkan dan memusnahkan segala binaan yang terdapat di dalam kawasan tersebut.
“Sehubungan itu, PDT Kuantan dengan ini menafikan sekeras-kerasnya mengenai aduan yang dibuat oleh Ishak bin Ismail mengenai arahan di atas. Arahan yang dikeluarkan hanyalah untuk mencabut, merobohkan dan memusnahkan segala binaan yang dibina oleh pihak PPNP sahaja iaitu melalui notis tersebut. Laporan polis juga telah dibuat mengenai penafian ini bertarikh 20 Jun 2024,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan tersebut, PDT Kuantan telah menerima satu aduan daripada Penghulu Mukim Ulu Kuantan pada 6 Jun 2024 mengenai pencerobohan tanah kerajaan yang telah dilakukan oleh pihak PPNP di Kampung Kawah, Sungai Lembing.
“Pasukan penguatkuasa PDT Kuantan telah menjalankan siasatan awal di tapak dan mendapati satu bangunan iaitu satu pondok pengawal keselamatan telah dibina di atas tanah kerajaan tanpa sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri. Selain itu, terdapat juga binaan pagar palang besi yang bertujuan bagi mengawal penutupan lalu-lalang yang dipercayai dibina oleh pihak PPNP,” katanya. -PAHANGMEDIA

