Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 22 JUN 2024 : Kerajaan Pahang menyeru agar rakyat di negeri ini meningkatkan amalan penjagaan kebersihan menerusi pelaksanaan pelbagai program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, banyak program dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat antaranya ‘Cari dan Musnah’ dan inisiatif ‘One Hour Malaysia Clean Up’ selain melibatkan pasukan sukarelawan ‘Communication for Behaviourial Impact (COMBI).

“Kita sarankan penduduk untuk mengambil masa 10 minit setiap minggu untuk membuat pemantauan dan periksa semua tempat seperti stor atau pun bekas-bekas yang berisiko tinggi untuk nyamuk aedes membiak.
“Kita perlu jaga kebersihan rumah dan pastikan tiada kawasan sampah yang banyak atau membawa risiko yang tinggi (pembiakan nyamuk aedes),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes Bil 1 Tahun 2024 Peringkat Negeri Pahang sempena Sambutan Hari Denggi Asean yang bertemakan ‘Bersama Menangani Denggi : Membina Komuniti ASEAN Yang Berdaya Tahan’ di Taman Tanjung Selangor di Pekan, pagi tadi.
Hadir sama ialah Pengarah JKNP, Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman, Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkifli, Pegawai Kesihatan Daerah Pekan, Dr. Mohd Fahmi Ismail, Pengerusi COMBI Kebangsaan, Encik Jasmin Mohd Kassim dan Penghulu Mukim Kuala Pahang, Encik Khairul Faizah Zahari.
Program gotong-royong itu membabitkan kerjasama pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, SWCorp, UMPSA dan sukarelawan termasuklah sukarelawan COMBI.
Menurut Datuk Dr. Rusdi, meskipun Pahang mencatatkan sebanyak 807 kes sehingga 15 Jun 2024, namun tiada kes membabitkan kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan. – PAHANGMEDIA

