Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Pelbagai usaha yang dilakukan bagi memastikan barang keperluan rakyat di negeri ini mencukupi antaranya Jualan Makmur yang memberi subsidi antara 15 peratus hingga 30 peratus dari harga asal jualan selain Program Jualan Rahmah 2024, Program Penyeragaman Harga Negeri Pahang dan Inisiatif Digital Sektor Peruncitan.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang berkata seiring dengan itu Kerajaan Negeri melalui KPDN Pahang turut melaksanakan penguatkuasaan seperti pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis-premis perniagaan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang.
“Sehingga April 2024, sejumlah 26,000 premis perniagaan telah diperiksa di mana sebanyak 257 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.2 juta dan kutipan kompaun berjumlah RM159,000.
“Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Negeri Pahang pula telah memfailkan sebanyak 78 tuntutan setakat April tahun ini di mana 28 tuntutan adalah barangan manakala 50 tuntutan untuk perkhidmatan.
Daripada jumlah tersebut, 28 kes telah berjaya diselesaikan manakala 50 kes sedang dalam proses pendengaran. Jumlah tuntutan setakat ini adalah sebanyak RM1 juta manakala jumlah award adalah sebanyak RM319,000. Jenis tuntutan paling tinggi yang difailkan bagi tahun 2024 sehingga kini adalah pakej haji atau umrah dengan 28 kes diikuti pengubahsuaian rumah sebanyak 11 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu beliau turut menjawab pertanyaan ADUN Chini berkenaan strategi dan langkah- langkah Kerajaan Pahang dalam menyediakan peluang pekerjaan bagi mengelakkan penghijrahan sumber manusia keluar dari negeri ini.
“Kerajaan Negeri Pahang melalui PERKESO di dalam Bajet Belanjawan Negeri Pahang menerusi Majlis Pekerja Negeri Pahang pada tahun ini telah menyediakan sebanyak 11 program siri karnival berskala sederhana dan satu program karnival negeri yang akan membantu menyediakan sebanyak 3,700 unjuran peluang pekerjaan baru di negeri ini.
“Usaha ini juga dibuat bagi menyokong agensi ini untuk mencapai sasaran bagi penempatan pekerja baru sebanyak 8,200 pada tahun ini sekaligus mengatasi isu pengangguran yang memberi kesan secara langsung kepada landskap ekonomi dan sosial sesebuah negara amnya, dan kepada negeri Pahang khususnya,” katanya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri melalui MPNP telah mewujudkan Dasar dan Pelan Tindakan Majlis Pekerja Negeri Pahang 2024- 2029 yang akan dilancarkan pada masa yang terdekat
“Antara inisiatif yang dicadangkan ialah dengan mewujudkan pangkalan data utama CariKerja@Pahang dan dashboard bagi menyepadukan proses perancangan strategi MPNP yang lebih berkesan. Selain itu, bagi menggalakkan warga Pahang yang mahir supaya pulang bekerja di Pahang, Program Sokongan Kerja dan inisiatif-inisiatif menarik juga dicadangkan di dalam dasar dan pelan tersebut.
“Antara inisiatif yang akan dijalankan pada masa yang terdekat ialah Pahang 1st Job, Pangkalan Data Utama Pekerjaan Pahang (CariKerja@Pahang) serta Siri Forum “Pekerja Harmoni, Ekonomi Lestari’ yang melibatkan penyertaan daripada jabatan, agensi, badan bukan kerajaan, pusat pengajian tinggi dan pemain industri Negeri Pahang.
Katanya lagi, penganjuran program ini akan menjadi satu medium kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk membincangkan kesediaan pekerja untuk berhadapan industri 4.0 seperti robot autonomi, sekuriti siber dan teknologi AI ketidak sepadanan pekerjaan dan kekurangan tenaga kerja mahir.
Sementara itu beliau turut menyentuh kepentingan golongan suri rumah di negeri ini di mana Kerajaan Negeri melalui PERKESO sentiasa melaksanakan siri libat urus merentasi agensi dan kawasan bagi menyampaikan maklumat berkenaan skim perlindungan menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.
“Setakat Januari hingga Mac 2024, sebanyak 7545 golongan isi rumah telah berjaya didaftarkan di negeri ini dan usaha ini akan diteruskan dari masa ke semasa untuk memastikan semua golongan isi rumah terutamanya mereka yang terdiri daripada golongan yang memerlukan dapat dibantu dan dibekalkan dengan skim perlindungan yang sama dengan hanya mencarum sebanyak RM10 sebulan atau RM120 bagi perlindungan selama setahun (bagi suri rumah yang belum mencapai umur 54 tahun),” katanya. -PAHANGMEDIA

