Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Pahang berjaya mencatatkan sejumlah RM16.44 bilion pelaburan pada tahun 2023 dengan peningkatan bagi pelaburan asing kepada RM11.666 bilion.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, meskipun jumlah pelaburan langsung asing (FDI) meningkat namun berlaku sedikit penurunan bagi pelaburan domestik kepada RM4.775 bilion.
“Kerajaan sentiasa bersedia dengan strategi bagi meningkatkan prestasi pelaburan Negeri Pahang dalam ekosistem dan situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.
“Justeru itu, beberapa inisiatif sedang dan telah dilaksanakan bagi mendepani cabaran-cabaran ekonomi domestik dan global bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang terus teguh dan kekal di landasan betul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, bagi sektor pelaburan juga kerajaan turut memperkasa Invest Pahang sebagai gerbang pelaburan utama di Pahang menerusi pelbagai usaha termasuklah penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN), Misi Perdagangan Ke China menerusi Mesyuarat Majlis Kerjasama Bersama Kelima MCKIP-CMQIP dan Misi Perdagangan ke Hannover Germany menerusi Ekspo Hannover Messe 2024 di Jerman.
“Kerajaan juga giat menjalankan promosi pelaburan dengan merancang menganjurkan Malaysia East Coast Covention (MECC) di Pantai Timur serta mencadangkan Inisiatif Pelaburan Tahun 2024 seiring ‘trend’ semasa dalam sektor ‘low-altitude aviation’.
“Kerajaan juga kini menumpukan pelaburan dengan melaksanakan beberapa inisiatif dengan beberapa buah negara seperti New Zealand, China dan UAE dan dalam masa yang sama memastikan tanah yang berpotensi dan strategik dapat dibangunkan segera.
“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada sektor tenaga boleh diperbaharui dengan berkolaborasi bersama syarikat UAE serta lima projek tenaga solar di bawah seliaan PKNP di Gebeng, Kuantan,” jelasnya.
Jelas beliau lagi, antara sektor lain yang turut diberi tumpuan adalah sektor aeroangkasa dengan mensasarkan menguasai sekurang-kurangnya 1 peratus pasaran ‘Maintainance, Overhaul & Repair (MRO)’ Asia Pasifik dianggarkan bernilai RM15 trilion.
“Bagi sektor perindustrian pula, Kerajaan Pahang telah mencatatkan KDNK sebanyak 4.1 peratus di tangga kelapan di Malaysia. Daripada jumlah itu, sektor perkhidmatan mencatatkan KDNK tertinggi sebanyak 51.8 peratus (RM31.8 bilion) diikuti sektor pembuatan 22.4 peratus (RM13.7 bilion) pada 2022,” katanya. – PAHANGMEDIA

