Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Seramai 2,418 usahawan FELDA di Negeri Pahang telah dikenalpasti aktif menghasilkan produk seperti perusahaan makanan dan produk kraftangan berasaskan tekstil serta kayu dan logam.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, jumlah tersebut merupakan 38.95 peratus daripada 6,208 jumlah usahawan FELDA di Pahang yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
βLangkah proaktif yang dilakukan oleh FELDA dalam memperkasakan potensi usahawan FELDA Negeri Pahang telah melahirkan seramai 25 usahawan berjaya mencapai jualan lebih RM1 juta dalam tempoh satu tahun yang seterusnya menjadi model dan tunjang kepada para usahawan FELDA yang lain,β katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, sini hari ini.
Beliau berkata, kesungguhan oleh FELDA ini menunjukkan peranan yang dimainkan dalam keberhasilan program pembangunan usahawan di kalangan peneroka dan generasi FELDA yang bukan sekadar dibantu menjana pendapatan tambahan malahan dapat membuka peluang pekerjaan kepada generasi baharu.
βFELDA akan terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada para usahawan untuk memastikan mereka terus berdaya saing dan berkesan dalam memajukan ekonomi setempat.
FELDA juga telah memberikan pelbagai insiatif dan insentif kepada usahawan-usahwannya menerusi pelbagai program yang dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.
Kerajaan Pahang juga memperuntukkan RM500,00 untuk usahawan-usahawan mempelajari teknik adaptasi pelbagai teknologi digital dalam perniagaan mereka. – PAHANGMEDIA

