Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan Penubuhan Man and Biosphere (MAB) Mossy Forest yang selaras dengan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia: Transformasi ke arah Ekonomi Berasaskan Khazanah bagi pelaksanaan pembangunan sumber selain mempertingkatkan usaha pemeliharaan khazanah alam sekitar.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata penubuhan MAB Mossy Forest adalah platform yang sesuai bagi tujuan pemeliharaan khazanah alam.
“Pemeliharaan daripada penerokaan yang tidak terancang dan dalam masa yang sama menjadi platform untuk menarik pelancong ke tapak ekopelancongan bertaraf antarabangsa.
“Perkara ini sekali gus dapat memperkasa ekonomi penduduk setempat serta memperkenal budaya dan warisan di sekitar Cameron Highlands,” katanya.
Dalam pada itu, pihak Kerajaan Negeri Pahang juga telah merangka satu Pelan Induk Pembangunan Taman Eko-Rimba Mossy Forest melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Antara empat strategi yang telah dirangka adalah penghasilan produk ekopelancongan yang unik serta berdaya maju, mewujudkan strategi bagi pembangunan semula kawasan rekreasi di kawasan ini bagi tujuan pembentukan pengalaman rekreasi dan konservasi sumber.
“Seterusnya, penyusunan strategi bagi pemasaran berkesan untuk produk ekopelancongan di kawasan rekreasi terlibat dan merangka pelan tindakan bagi melaksanakan semua strategi yang telah dikenalpasti dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan ekopelancongan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tanah Rata, YB Tuan Ho Chi Yang pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut memaklumkan bahawa MAB Mossy Forest ini juga merupakan inisiatif utama United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dalam pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan mampan.
“Sesi konsultasi bersama pemegang taruh, penduduk setempat dan agensi berkaitan bagi mengenalpasti kehendak dan keperluan bagi pembangunan ekonomi setempat termasuk pengurusan mampan sebagaimana ketetapan bagi penubuhan MAB UNESCO bakal diadakan pada Mei 2024,” katanya. -PAHANGMEDIA

