Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 9 MEI 2024 : Kerajaan Negeri amat menitikberatkan keperluan penyediaan rumah bagi golongan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana bagi penduduk di Negeri Pahang.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata Kerajaan Negeri telah melancarkan beberapa program rumah rakyat dalam memberi fokus utama membantu kumpulan B40.
“Antaranya adalah Rancangan Rumah Murah (RRM), Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Projek Rumah Makmur, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP).
“Daripada 2020 hingga April 2024, perumahan yang telah siap adalah lebih kurang sebanyak 13,772 unit rumah, manakala yang siap pada tahun hadapan dan 2026, ialah 6,521 unit rumah akan siap sepenuhnya. Jadi hampir 20,000 telah kita sediakan untuk rakyat Negeri Pahang bawah skim ini,” katanya.
Menurutnya, RRM dan PAKR yang terdapat di kawasan DUN Sabai adalah sebanyak 429 unit melibatkan kawasan berikut iaitu 185 unit di PAKR Kampung Muhibbah Benus, masing-masing 96 unit di PAKR Telemong dan PAKR Kampung Muhibbah Karak, 32 unit di RRM Kilat Karak dan 20 unit di RRM Karak.
“Bagi Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP), Kerajaan Negeri memberikan subsidi dengan harga RM75,000 seunit bagi membantu rakyat kurang berkemampuan. Bagi kawasan DUN Sabai, terdapat 12 unit rumah RRP telah dibina.
“Bagi Projek Rumah Makmur pula, harga jualan rumah ini adalah bernilai RM80,000 seunit bagi membantu golongan berpendapatan seisi rumah di bawah RM5,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sabai, YB Tuan V Arumugam A/L A Veerappa Pillai pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada cadangan projek Rumah Makmur yang akan dibina di kawasan Bentong dan pihak Kerajaan Negeri mengalu-alukan cadangan tapak pembangunan, sekiranya bersesuaian dengan permintaan penduduk kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau sempat berpesan kepada rakyat yang memerlukan perumahan ini agar dapat sama-sama menggunakan aplikasi e-perumahan Pahang untuk mendaftar sebagai proses pemilikan rumah di mana saja dalam kawasan Negeri Pahang ini.
“Kerajaan akan meneliti dan menganalisis data-data tersebut dan jika mendapati angka-angka yang sesuai, Kerajaan akan menimbang untuk membina perumahan-perumahan yang sepatutnya dibina di kawasan-kawasan terbabit,” katanya. -PAHANGMEDIA

