Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 9 MEI 2024 : Sebanyak empat daripada sembilan buah perkampungan orang asli di bawah DUN Chini telah diangkat permohonan pewartaannya ke Pejabat Tanah dan Galian Pahang sejak tahun 2020.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, empat kampung berkenaan ialah Kampung Dusun, Kampung Tasik Mentiga, Kampung Air Hitam dan Kampung Gumum.
“Kampung Dusun telah diterima permohonannya pada September 2019 dan kini di dalam proses siasatan manakala permohonan Kampung Tasik Mentiga berkeluasan 589 hektar diterima pada Disember 2018 di dalam proses mendapatkan ulasan teknikal.
“Bagi permohonan Kampung Air Hitam seluas 48.77 hektar yang diterima pada Oktober 2021 telah ditolak pada Januari tahun ini kerana sebahagian kawasan berlapis dengan hak milik LKPP dan sebahagian lagi berlapis dengan kelulusan PSK.
“Begitu juga dengan permohonan Kampung Gumum dengan dua plot seluas 517.89 hektar dan 254.63 hektar yang ditolak pada Mac lalu kerana kawasan berlapis dengan Hutan Simpan Negeri dan Hutan Tadahan Air di dalam Hutan Simpan Chini dengan berkeluasan 6502.85 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Chini, YB Tuan Sharim Md Zin sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

